Sabtu, 5 November 2011

lembu bergigi manusia

Allah S.W.T berfirman dalam Surah Al-Kauthar:1-2 bermaksud: ''Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)."

Hari Raya Aidiladha atau dikenali Hari Raya Haji memang amat ditunggu oleh fakir miskin. Bagi mereka sekiranya mahu makan daging segar inilah masanya, kerana ramai orang Islam berkemampuan akan melakukan ibadah korban setahun sekali ini.

Ketika inilah betapa enaknya daging itu dirasai fakir miskin. Amalan ibadah menyembelih binatang korban ini sama ada lembu, kerbau, kambing atau unta amat dituntut oleh Islam sejajar dengan roh pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. yang akhirnya menyembelih seekor kibas.

Manfaat sembelihan korban ini bukan hanya kepada fakir miskin sahaja bahkan kepada penternak, penjual atau peraih juga.

Justeru dinasihatkan golongan ini turut melakukan pengorbanan tanpa memikirkan keuntungan sahaja.

Senario di Malaysia setiap kali hari raya korban maka sumber haiwan ini tidak mencukupi dan kadang-kadang terpaksa diimport.

Di kesempatan ini, penulis ingin menyentuh kaedah penyembelihan yang diamalkan di Malaysia.

Penulis pernah ditanya oleh industri sembelihan di Australia ketika membuat audit sembelihan di sana. "Adakah sembelihan di Malaysia menjaga kebajikan haiwan (animal welfare)?".

Soalan ini ada kaitannya dengan kaedah sembelihan korban yang diamalkan di Malaysia. Sabda Rasulullah S.A.W :

"Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh elokkanlah pembunuhan itu, dan apabila kamu menyembelih maka elokkanlah penyembelihan itu,

''Dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan hendaklah dia memberi keselesaan kepada binatang sembelihannya." (Hadis riwayat Muslim)

Adakah ihsan ini diambil kira dalam sembelihan korban? Contohnya lembu ditambat tanpa diberi minum di tengah panas dan hujan sehari semalam, diikat kaki dengan sekuatnya dan diheret di atas tanah serta duduk atas haiwan tersebut ketika sembelih, mengasah pisau di hadapan haiwan, tidak diuraikan tali ikatan selepas sembelih, mencabut bulu-bulu di leher haiwan sebelum sembelih, melapah sebelum sempurna mati, sembelih di hadapan haiwan lain.

Pandangan ulamak semuanya ini adalah makruh dan tiada ihsan ke atas haiwan korban. Adalah malang sunat korban itu dicampurkan dengan perbuatan makruh ketika proses sembelihan korban.

Semestinya amalan sunat korban itu disusuli perbuatan sunat dalam sembelihan. Antara perkara sunat dalam sembelihan korban adalah membaca Basmallah dan Selawat, lelaki yang baligh dan berakal, pisau yang tajam, membaringkan binatang di atas rusuk kiri dengan kepala diangkat sedikit, memutuskan semua urat leher yang tertentu supaya cepat mati tanpa seksa, mengadap kiblat (penyembelih dan haiwan).

Bagi sembelihan korban, disunatkan takbir tiga kali sebelum dan selepas membaca "Basmallah". tidak mengasah pisau di hadapan binatang yang hendak disembelih, tidak menyembelih di hadapan binatang lain, memberi minum binatang sembelihan itu sebelum disembelih. 


Kod etika penyembelih juga perlu diambil kira seperti penyembelih fasiq. Penyembelih juga mesti betulkan niat kerana terdapat penyembelih menyembelih kerana sesuatu seperti hendak ekor, kepala, hati atau sebagainya.

Ini semua memberi kesan keberkatan dan kualiti daging. Sebenarnya, semua kaedah dan permasalahan ini telah diajar oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam modul tauliah sembelihan.

Lantaran itu, untuk membetulkan kaedah ini dicadangkan setiap masjid dan surau mengadakan kursus sembelihan kepada ahli kariah supaya semua lapisan masyarakat memahami konsep dan teknik sembelihan serta ihsan.

Islam telah mengajar umatnya supaya berihsan dengan haiwan termasuk adab dan kaedah sembelihan.

Kaedah sembelihan yang betul memberikan gambaran jelas kepada orang bukan Islam bahawa Islam itu sempurna dan lengkap.

Alangkah indahnya amalan sunat korban itu disuburkan dengan semua amalan sunat yang lain dalam sembelihan korban.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan